Future Skills For All (FS4A) ialah sebuah inisiatif yang membawakan kandungan pembelajaran literasi digital percuma kepada semua terutamanya pelajar sekolah dan guru Malaysia. Kami komited untuk membina komuniti celik digital dan memperkasakan semua pelajar. Laman web ini dibina oleh tenaga pengajar daripada Arus Academy yang datang dari pelbagai latar belakang profesional yang berbeza tetapi dengan minat dan kemahiran dalam bidang pendidikan.
Kandungan ini selaras dengan kurikulum kebangsaan dalam pengaturcaraan dan pemikiran komputasional serta mengintegrasikan rangka kerja GCED (Global Citizenship Education) dan ESD (Education for Sustainable Development). Ia menawarkan modul interaktif dan alat pembelajaran yang boleh diakses secara dalam talian dan luar talian.
Future Skills For All turut dimasukkan dalam Country Programme Action Plan (CPAP) UNICEF sebagai sebahagian daripada perjanjian kerjasama strategik dan pelan tindakan bersama Kerajaan Malaysia.
Diwujudkan sebagai bahan bantuan mengajar, portal FS4A siri micro:bit, HTML, Python dan SQL dibina berdasarkan BSKP KSSR Reka Bentuk dan Teknologi serta DSKP KSSM Asas Sains Komputer. Setiap pengajaran merangkumi video, nota serta kuiz. Portal pembelajaran kendiri ini membolehkan murid mempelajari konsep pengaturcaraan berasaskan projek pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja, asalkan mempunyai sambungan Internet.
Semasa zaman pandemik, sekolah memerlukan dorongan luaran untuk menyemarakkan semangat belajar dalam kalangan murid. Kempen #bolehcode telah memperkenalkan Pertandingan Pengaturcaraan #bolehcode, di mana murid menjawab kuiz pengaturcaraan pada peringkat negeri. Sebanyak 20 peratus teratas daripada peringkat negeri berjaya mara ke peringkat kebangsaan, di mana peserta mereka bentuk projek pengaturcaraan bertemakan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
Pembaharuan DSKP KSSR Reka Bentuk dan Teknologi (RBT) Tahun 6 mendorong pasukan FS4A untuk meneruskan usaha mereka dalam melengkapi bahan mengajar dalam talian bagi para pendidik di Malaysia. Sebuah siri robotik yang merangkumi lima projek telah dihasilkan, dengan inspirasi projek yang kekal relevan — bukan sahaja untuk murid Tahun 6, tetapi juga pelajar Tingkatan 1 hingga 3 yang mengambil subjek RBT.
Perintis Siri Robotik
Program Perintis Siri Robotik telah melibatkan lebih daripada 20 sekolah di Perlis, Perak dan Kedah. Seorang guru diiringi oleh tiga atau empat orang murid telah menghadiri latihan perintis ini bagi menilai keberkesanan kandungan baharu ini — dari segi bahan bantu mengajar untuk guru, dan portal pembelajaran kendiri untuk murid.
Bengkel Penciptaan Bersama Kit Luar Talian
Salah satu inisiatif inklusiviti adalah untuk memastikan murid yang menghadapi masalah sambungan Internet dapat mempelajari kemahiran digital serta konsep pengaturcaraan supaya mereka tidak ketinggalan zaman. Kit Luar Talian ini mengandungi buku panduan dan kad permainan berasaskan konsep pengaturcaraan, serta pemacu ibu jari USB yang menyediakan video pengajaran, bersama kabel USB-C dan lightning. Inisiatif ini bertujuan memastikan murid dapat belajar secara luar talian melalui pendekatan permainan, dan mengukuhkan pembelajaran mereka dengan menonton video menggunakan telefon bimbit atau komputer.
Penghasilan Video Arahan dalam Bahasa Isyarat
Dengan kerjasama Persekutuan Orang Pekak Malaysia, semua video pengajaran FS4A telah dilengkapi dengan Bahasa Isyarat. Video pengajaran tersebut turut digunakan dalam pengajaran di sekolah khas.
Program Jurulatih & Duta Murid FS4A
Program Jurulatih dan Duta Murid FS4A ialah inisiatif KPM di bawah Future Skills For All (FS4A) yang bertujuan meningkatkan kemahiran murid dalam bidang digital dan keusahawanan serta mempersiapkan mereka untuk masa depan. Jurulatih berperanan membimbing murid dalam kemahiran yang diperlukan, manakala duta murid mempromosikan dan menyebarkan kesedaran mengenai program FS4A di peringkat sekolah, negeri dan kebangsaan dengan sokongan komuniti.
Sarawak Scale Up ialah inisiatif perluasan program FS4A di peringkat negeri Sarawak yang bertujuan melahirkan murid yang inovatif dan berdaya saing sebagai penyelesai masalah komuniti melalui kemahiran digital dan keusahawanan. Program ini memperkasa sekolah dan komuniti dengan latihan dan sokongan berfokuskan impak setempat.
Inisiatif ini diperkenalkan kepada guru Pendidikan Khas sebagai satu pendekatan pemudah cara yang membimbing murid berkeperluan khas untuk menjadi inovator dan penyelesai masalah dalam komuniti mereka. Melalui program ini, guru diberikan latihan, sumber sokongan, dan pendedahan kepada pendekatan pembelajaran abad ke-21 bagi mewujudkan persekitaran yang inklusif, memberdaya dan berasaskan kemahiran masa depan seperti pemikiran kritikal, kolaborasi dan penggunaan teknologi.
Matlamat utama inisiatif ini adalah untuk memastikan murid berkeperluan khas turut berpeluang menyumbang secara aktif kepada masyarakat melalui pembelajaran yang relevan dan bermakna.
FS4A Selangor Targeted Scale Up ialah inisiatif khusus di negeri Selangor untuk memperluas impak program, dengan menumpukan penyertaan murid dari daerah tertentu seperti Gombak, Petaling Utama, Petaling Perdana dan Klang bagi memastikan akses inklusif kepada kemahiran digital serta keusahawanan. Usaha ini menyokong guru sebagai pemudah cara dan memperkasakan murid untuk menjadi inovator serta penyelesai masalah dalam komuniti mereka.