FS4A Menarik Perhatian di MYDigital Maker Fair 2024
25 September, 2024
Future Skills For All (FS4A) membuat penampilan sekali lagi di MYDigital Maker Fair 2024 dari 13 hingga 15 September bertempat di Dewan 6, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Pameran ini berjaya menarik lebih 15,000 pengunjung—termasuk pelajar, guru, ibu bapa, dan peminat teknologi—strategik bersempena cuti panjang menjelang Hari Malaysia.
FS4A mempunyai misi yang jelas: Memastikan setiap murid mendapat peluang untuk mendapatkan kemahiran digital masa depan.
Sepanjang hujung minggu, reruai FS4A dipenuhi dengan pelbagai aktiviti berkonsepkan pengajaran siri Mikro:bit, HTML, Python dan SQL yang terdapat di laman web FS4A. Pelawat berpeluang untuk mengetahui tentang platform pengaturcaraan percuma yang disediakan oleh FS4A, yang boleh diakses melalui platform DELIMa KPM, manakala murid dari pelbagai peringkat umur berpeluang mencuba permainan kad pengaturcaraan offline FS4A untuk Microbit, HTML, Python, dan SQL.
Permainan kad ini mendapat sambutan hangat—menjadikan pengaturcaraan satu cabaran yang menyeronokkan dan bukan sesuatu yang menakutkan. Malah, kanak-kanak yang tiada pengalaman dalam Python atau SQL turut serta, belajar asas pembelajaran tersebut melalui persaingan sihat sesama mereka. Siapa sangka pengaturcaraan boleh jadi begitu menarik?
Salah satu sorotan acara adalah Mini Hackathon FS4A selama 2 hari, di mana peserta Hackathon diberi hanya 30 minit untuk berfikir dan mencipta prototaip teknologi yang inovatif menggunakan siri pengajaran FS4A.
Kumpulan pertama fokus kepada platform anti-buli, menggunakan HTML dan SQL untuk membina laman web yang memberi makluman kepada guru dan ibu bapa tentang insiden buli secara masa nyata, lengkap dengan sistem merit untuk membantu sekolah menguruskan isu tersebut.
Kumpulan kedua menghasilkan prototaip MYSekolah, sebuah laman web yang dapat membantu pelajar menjejaki kerja rumah mereka, lengkap dengan bantuan guru melalui livechat dan ganjaran bagi pelajar yang menyelesaikan tugas mereka tepat pada masanya.
Kedua-dua projek ini direka dan dibentangkan dalam masa hanya setengah jam, dengan bantuan fasilitator FS4A. Apa yang lebih istimewa ialah orang ramai yang hadir ke reruai kami berpeluang untuk menilai dan undi kumpulan yang mempunyai kreativiti dan prototaip yang menarik perhatian mereka. Kreativiti dan kebolehan menyelesaikan masalah yang dipamerkan oleh anak murid benar-benar memukau orang ramai.
Pasukan FS4A juga berpeluang untuk bertemu dengan YB Gobind Singh Deol, Menteri Digital Malaysia, sebagai tanda penghargaan dalam pemerkukuhan dan kolaborasi dalam sektor digital. Pameran ini juga berperanan sebagai pusat untuk rangkaian kerjasama, dengan perbincangan tentang potensi kolaborasi bersama universiti tempatan dan kelab robotik. Kami teruja dan berharap dengan perkongsian baru ini, kami boleh membantu membawa program ini kepada semua pelajar di seluruh Malaysia.
Matlamat FS4A jelas: kami ingin menjadikan kemahiran literasi digital boleh diakses oleh semua, tanpa mengira latar belakang. Semua alat dan sumber FS4A boleh diakses secara percuma melalui platform seperti Google dan DELIMa KPM. Kami menyeru sekolah, universiti, dan komuniti untuk turut serta dalam misi mengurangkan buta digital dan memperkasakan generasi muda untuk menjadi penyelesai masalah. Jadi, sama ada anda seorang pendidik, pelajar, atau hanya seseorang yang ingin tahu tentang pengaturcaraan, FS4A sedia menunjukkan bahawa masa depan kemahiran digital adalah cerah—dan semua orang boleh menjadi sebahagian daripadanya!
Gambar Pameran MYDigital Maker 2024 boleh diakses di sini